BAHASA CINTA AYAH
"Alhamdulillah, saya berjaya ke universiti!" luah seorang anak. Ibu segera memeluknya dengan erat, air matanya gugur penuh kegembiraan. Sebaliknya, ayah masih diam tidak suara. Tidak lama, dengan perlahan dia bertanya, " Berapa biaya yang diperlukan untuk ke sana?". Itulah ayah. Dia semacam kaku menuturkan bahasa kasih sayang dan cinta. Ayah berbicara bukan dengan perkataan, bukan dengan lisan. Tetapi dengan 'tanggungjawab'.
    Ayah bukan tidak punya cinta, bukan juga punya cinta, bukan juga rasa gembira. Tetapi jangkauan cinta ayah sudah beberapa kali ke hadapan. Ayah telah sibuk mencongak perbelanjaan. Bahasa cinta melalui tindakan. Bicara ayah selalunya singkat. Sekadar, "Belajar baik-baik". "Jaga solat". "Ingat Allah". Ibu, sebaliknya tidak seperti itu. Ibu mampu meluahkan bicara yang tidak menjemukan. Leteran, ingatan dan kerisauannya berjela panjang. Diulang-ulang tanpa diminta.
     Ayah kadangkala kelihatan keras. Dilepaskannya kita ke sungai untuk berenang. Tercungap-cungap kita hampir kelemasan. Kemudian barulah tangannya menyambut semula. Tidak lama, kita dilepaskan kembali. Begitulah dibuatnya berulang-ulang kali. Di kejauhan ibu mengingatkan "sudahla tu..anak kita nanti kelemasan".  Namun, ayah tetap tega, sehingga kita pandai berenang. Ayah melatih tanpa letih. Kita tidak faham erti di sebalik 'kekejamannya'. Sedangkan atas kebimbangan itulah ayah bertindak begitu, agar ketika dia tiada nanti, kita mampu menyelamatkan diri sendiri!
   Sewaktu kita pulang membawa laporan peperiksaan yang memberansangkan, ayah menyambutnya dengan wajah selamba. Pujian yang kita harapkan tidak kedengaran. Dia meneliti buku laporan itu sahaja. Kita seolah-olah tidak mencapai apa-apa. Namun, hati kita kemudiannya terubat apabila ayah membanggakan kita di depan ibu dan adik-beradik yang tanpa disedarinya kita mendengar pujian itu. Rupa-rupanya ayah memuji kita dalam sembunyi. Pujiannya bagai tiada air ke atas benih yang sedang tumbuh, tidak terlalu banyak, nanti benih mati terhenyak. Tidak terlalu sedikit, nanti benih mati kehausan. Sungguh, ayah punya cara tersendiri untuk memuji. 
    Tatkala tiba saat berpisah, kita perlu meninggalkan rumah untuk tinggal di asrama atau di perantauan. Ayah menemani kita di perhentian yang terakhir. Boleh jadi di stesen bas, perhentian kereta api, atau di tepi kereta sendiri. Kita lihat wajah ibu sudah mendung dan kemudian menitiskan air mata. Namun ayah masih begitu-gitu jua. Dengan tenang dia menghulurkan tangan dan kita menciumnya. Ayah berpalin dan pamitan itu pun bermula, Ketka wajah ibu masih merenung di kejauhan dengan lambaian tangannya yang sangat sayu, pandangan ayah pula terus ke hadapan, fokus pada pemanduan, seolah-olah tidak tergores oleh perpisahan.
    Namun berminggu-minggu kemudian, ibu membocorkan rahsia. Ayahlah yang paling kerap menjengah bilik tidur dan katil yang kita tinggalkan. Ayah jadi seorang perindu, kata ibu. Dia mula menyebut makanan kesukaan kita, mula merenung gambar kita dan mula berkira-kira mahu melawat kita walaupun usia perpisahan belum terlalu lama. Itulah ayah, yang kesedihan dan kesayuan, tidak terpamer. Kanvas cintanya bukan dilukis oleh warna-warna yang boleh disentuh mata, tetapi hanya dapat dibaca oleh rasa. Rindu ayah tidak kurang dasyatnya dengan rindu ibu, tetapi ayah lebih mampu menyembunyikannya.
     Sewaktu kita hidup susah, ditimpa pelbagai masalah, ayah datang dan berada di sisi dengan pelbagai bantuan, Boleh jadi dengan wang, boleh jadi dengan semangat. Atau hanya dengan doa. Ayah tidak akan pernah meninggalkan kita. Ketika semua orang seolah-olah sudah kehilangan keyakinan dan kepercayaan kepada kita, ayah tetap berdiri teguh memberi kesokongan dan dukungan serta tidak pernah meninggalkan. Dialah jeneral yang terus berpesan kepada kita, " kamu hanya kalah dalam satu pertempuran anakku, bukan dalam satu peperangan!". Dan dengan kata-kata itu, si anak pun bangkit untuk mencipta kemenangan baru.
 
  Apabila ayah pergi, pentas kasih sayang itu menjadi kosong. Kita kehilangan suara yang jarang kita kedengaran itu. Kita kehilangan tangan kasar yang penuh kasih sayang itu. Wajah budinya, renung mata tuanya, dan belitan urat di lengan kendurnya, sangat kita rindui. Rindu ini pilu. Ingin kita bertemu kembali. Tetapi bilakah? Di manakah? Tidak sempat segalanya kita balas, ayah pun pergi melepaskan beban yang digalas. Dia keletihan, biarlah dia beristirehat di sana. Sebagai anak, kita cuma berharap dan berdoa. semoga kita berjumpa lagi di syurga, Insya-Allah. 
  Pada anak-anak yang masih mempunyai bapa, hargailah dia sewajarnya. Sebesar mana pun kelemahan dan kekurangannya, lebih besar lagi jasa dan budinya. Dialah yang Allah pilih untuk menjadi ayah kita. Pilihan Allah, tidak pernah tersalah. Dia terbaik untuk kita dan kita yang terbaik untuknya. sekalipun pahit yang diberi ayah, hakikatnya adalah ubat yang merawat. Sekalipun pedih, itu bukan tanda benci. Itu kerana ayah punya cara tersendiri dalam mencintai kita. Bahagianya, sering tidak diucapkan. Pujiannya jarang diluahkan. Kebanggaannya ada kalanya tidak bersuara.
   Anak, bersyukurlah kepada Allah dengan mengasihi ayahmy, selagi ayahmu masih ada. 
 
 

 
 
